"Aku pernah terbaca;
Hanya mereka-mereka yang hilang arah
akan mengerti perasaan dijumpa semula.
Betapa benar.
Dan betapalah sebenarnya hakikat hidup adalah tidak ada seorang pun yang
pernah jauh dan tersasar arah. Cuma dipilih untuk tidak dijumpa.
Apa yang kau cari--
Sentiasanya lebih qarib sama jantungmu.
Telah lama selalu ada.
Dekat.
Minta.
Dan kau akan jumpa."
-FynnJamal-
Tanpa sedar, mengalir air mataku membaca bait-bait kata di dalam post FynnJamal yang kini sedang menunaikan Umrah di Bumi Haramain. Allahuakbar, sesak dada ini menahan rindu yang terlalu sarat. Masih segar dalam ingatan betapa aku diuji di sana demi mengejar cinta-Nya yang sungguh berharga. Berkali-kali air mataku tumpah disana, mengenangkan dosa-dosaku pada Maha Pencipta yang menggunung tinggi.
Apabila diuji dengan fitrah wanita, hatiku merajuk hiba tidak terkata. Terkadang terfikir, mungkin Allah tidak sudi menerimaku dek kerana dosaku yang terlalu banyak. Siang malam menangis, merayu, memohon ampun pada-Nya, sudilah kiranya Allah memberi aku peluang dan menerima aku sebagai tetamu-Nya. Syukur Alhamdulillah, aku masih diberi peluang untuk beribadah dalam keadaan yang suci di sana. Dan apabila selesai Umrahku yang pertama, Subhanallah, Tuhan saja yang tahu betapa bahagianya hati ini. Seakan-akan cinta Allah memelukku erat sambil memujukku seakan-akan Allah sedang membisikkan "Aku ada, hambaku, Aku sentiasa ada disisimu, usah gusar. Berpautlah sepenuhnya kepada-Ku, hamba-Ku. Aku ada."
Betapa berharganya cinta Yang Maha Esa itu. Aku percaya, aku diuji sedemikian rupa semestinya bersebab. Supaya aku lebih menghargai cinta Allah yang Maha Berharga itu. Supaya aku belajar untuk memohon keampunan dari Yang Maha Esa dengan hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Ya Rabb, sesungguhnya Engkau dekat, terlalu dekat. Selama ini aku yang buta. Kini sudah kujumpai, apa yang aku cari-cari selama ini. Syukur Alhamdulillah. Dan tidak akan aku lepaskan cinta ini buat selama-lamanya. Tidak akan.
No comments:
Post a Comment