Thursday, January 22, 2015

Bahagia Itu Adalah Apabila Kita Kembali Kepada Fitrah.

Kehadapan awak.

Alhamdulillah dalam dunia yang semakin tak keruan ini, kita masih dapat bertukar salam & mendoakan kebaikan satu sama lain. Ada banyak perkara yang ingin saya perkatakan tentang kesedihan. Terutamanya yang mendasari bicara-bicara yang awak sering paparkan. Maaf bukanlah niat saya untuk menyibuk, akan tetapi saya dapat melihat dan merasakan seolah-olah kesedihan itu satu sumpahan untuk awak.

Ingin saya bertanya, adakah tulisan-tulisan awak berkenaan kesedihan itu adalah kerana awak gagal mencapai bahagia yang awak inginkan? Kerana kebanyakan manusia, memang selalunya akan bersedih, kecewa dan terluka dalam mencari kebahagiaan. Adakah awak juga begitu?

Awak ingin dengar pendapat saya tentang bahagia? Tapi sebelum itu ingin saya tanyakan, apakah makna bahagia buat awak? Adakah bahagia itu apabila awak bernasib baik dalam kehidupan? Atau bahagia itu bila awak mencapai apa yang awak inginkan? Adakah bahagia itu awak ertikan dengan perasaan suka dan gembira yang awak alami? Atau bahagia itu adalah sesuatu keseronokan yang dicapai?

Jujurnya, saya pun tak tahu apa makna sebenar bahagia. Kerana terlalu banyak tafsiran daripada jiwa dan fikiran yang berbeza.

Saya tahu, kalau melibatkan perasaan, bahagia itu pasti kita maksudkan dengan pada akhirnya kita dapat bersama dengan seseorang. Kalau melibatkan harta pula, bahagia itu apabila kita mendapat hasil yang lumayan setelah penat bekerja. Atau bahagia itu boleh jadi, apabila kita melakukan sesuatu, sesuatu itu betul dan tepat.

Tapi ada satu soalan yang sering mengasak minda dan dada saya. Iaitu, kenapa bahagia itu perlu dikejar? Adakah bahagia itu sentiasa berubah? Kenapa kita perlu susah payah mencari bahagia? Di mana sebenarnya bahagia itu?

Bagi saya yang lemah ini, andai ditanya tentang bahagia, jujur saya akan jawab bahagia itu berada di dalam hati kita. Kita cuma perlu mengubah sedikit pandangan, agar kita bisa melihat makna sebenar bahagia itu.

Awak, segala kesedihan yang kita alami bukanlah hukuman daripada Tuhan. Tapi ia adalah hasil dari kesilapan kita sendiri. Semua itu, segala kesedihan dan kekecewaan itu adalah ujian, untuk kita mula mencari makna bahagia yang sebenar di atas muka bumi ini.

Awak, bahagia itu bukan kepuasan kepada fizikal mahupun kepuasan kepada rohani. Bahagia itu juga bukanlah tentang perasaan kita di mana ia bermula dan berakhir seperti mana yang kita mahukan.

Bahagia itu adalah apabila kita kembali kepada fitrah, kembali kepada mencari dan mencintai Allah. Bahagia itu bukanlah untuk diri sendiri sebaliknya untuk tujuan utama kenapa kita diciptakan, iaitu beribadah dan kembali kepada Allah.

Manusia diberi banyak pilihan, diberi kebebasan memilih untuk mencari bahagia sendiri. Tapi ramai yang salah guna kebebasan itu. Sedangkan pilihan terbaik bagi seorang manusia, ialah kembali kepada Allah. Kembali menyerahkan segalanya kepada DIA.

Ramai orang mentafsir bahagia dengan pelbagai tafisran. Tapi awak, bahagia itu cuma ada satu saja akhir yang abadi. Nak tahu? Bahagia itu apabila kita redha dengan apa jua yang Allah beri.

Jadi jangalah awak bersedih tentang kekecewaan masa lalu. Itu ujian, untuk awak memperbaiki diri. Allah sedang menilai sejauh mana awak tabah, supaya nanti DIA akan berikan awak sesuatu yang baik di masa hadapan.

Jangan menoleh kembali dengan kesedihan dan kekecewaan, di hadapan sana masih ada berjuta cinta yang menunggu, yang boleh kita kecapi. Ingat, dalam dunia ini, masa berjalan musim berubah bumi berputar. Takdir awak takkan duduk di tempat yang sama.

Hari ini awak kecewa. InshaAllah esok, kalau awak redha dan melangkah kehadapan (move on), awak akan temukan sesuatu yang lebih baik. Sebab dalam dunia ni, sentiasa ada ruang dan peluang untuk kita meraih cinta baru, hidup baru, kenangan baru. Kita cuma perlu redha.

Saya tahu awak takut. Sekali terluka buat awak takut untuk terluka lagi. Tapi macam mana awak nak sembuh dari sedih, kecewa dan luka, kalau awak tak berusaha untuk melangkah ke tempat lain?

Melangkahlah. Bangun dari kecewa. Kali ini mintalah petunjuk dan jalan terbaik. Sentiasa berserah pada DIA untuk apa jua keputusan. Cintailah DIA dengan sebenar-benar cinta. InshaAllah DIA akan memberikan awak sesuatu yang baik untuk dicintai dan mencintai awak.

Moga selepas ini awak menempuh jalan yang selamat, jalan yang dipermudahkan-Nya agar awak bertemu bahagia di sini, dan di akhirat sana. Langit pun sudah terlalu gelap dan bulan pun sudah terlalu tinggi untuk kita berbicara tentang masa lalu. Hari esok menanti. Senyumlah.

Moga selepas hujan duka, ada pelangi bahagia menghiasi diri awak. 



No comments:

Post a Comment